Sunday 1 July 2012

EDAR DADAH - Pasangan Kekasih dari FELDA Hulu Terengganu Ditahan.




Sepasang kekasih ditahan kerana memiliki dan mengedar heroin di sebuah rumah di Kampung FELDA Bading di Hulu Terengganu semalam.

Kedua-dua suspek warga tempatan itu ditahan kira-kira jam 6.45 pagi dalam Ops Tapis Narkotik yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis Daerah Hulu Terengganu. Timbalan Ketua Polis Derah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, pihak polis menemui 11 botol dadah dipercayai jenis heroin bernilai kira-kira RM13,200 di bawah katil di dalam bilik tidur suspek lelaki yang berusia 32 tahun dan teman wanitanya yang berusia 24 tahun.

"Suspek dipercayai baru saja mengambil bekalan dadah tersebut dari Rantau Panjang, Kelantan dan tidak sempat untuk diedarkan di sekitar kawasan Ajil.

"Dadah berkenaan masih berbalut dengan kertas surat khabar dan bahagian tudungnya masih dilekat dengan pita pelekat dan disorokkan di bawah katil," katanya di sini, hari ini.

Mohd Rosli berkata, suspek lelaki yang merupakan duda beranak satu manakala pasangannya janda beranak tiga dipercayai telah terbabit dengan aktiviti penjualan dadah awal tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau namun pasangan ini memang aktif dalam pengedaran dadah berdasarkan dadah yang dirampas.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan heroin.

Pasangan itu ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pemadam Wangsa Maju - Find me on Bloggers.com