Tuesday, 1 May 2012

PENGGUNA DADAH WANITA - SELANGOR CATAT RANKING TOP 1 DI MALAYSIA.



Selangor dan Kedah mencatat bilangan penagih dadah Wanita tertinggi di Negara ini sepanjang Januari hingga Oktober tahun lalu.

Menurut laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sepanjang tempoh tersebut, seramai 24 penagih wanita dikesan di kedua-dua negeri tersebut daripada jumlah 174 penagih golongan berkenaan di seluruh negara.

Ini menunjukkan bilangan di kedua-dua negeri tersebut menyumbang sebanyak 27.59 peratus kepada keseluruhan penagih wanita di seluruh negara.

Negeri yang turut mencatatkan bilangan penagih wanita yang tinggi adalah Johor dan Perak iaitu masing-masing seramai 22 dan 21 orang.

Bagaimanapun, laporan itu mendedahkan bilangan penagih wanita di seluruh negara mencatat penurunan ketara berbanding tempoh sama pada 2010 yang menunjukkan terdapat 501 penagih golongan tersebut, iaitu berkurangan sebanyak 65.27 peratus.

Laporan itu juga menunjukkan seramai 9,776 penagih dikesan di seluruh negara sepanjang Januari hingga Oktober tahun lalu, sekali gus mencatatkan penurunan drastik sebanyak 51.82 peratus berbanding 20,292 penagih dalam tempoh sama pada 2010.

Secara purata, seramai 21 penagih baru dan 12 penagih berulang dikesan setiap hari bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Perak mencatatkan bilangan penagih paling ramai iaitu 1,738 orang diikuti Pulau Pinang (1,480), Kedah (1,252), Selangor (1,251), Johor (1,034), Kuala Lumpur (620) dan Pahang (414).

Negeri Sembilan pula mencatatkan bilangan penagih seramai 294 orang, Kelantan (326), Melaka, (273), Sarawak (214), Terengganu (146), Perlis (59), Sabah (66), Putrajaya (9) dan Labuan (3).

Etnik Melayu paling tinggi dikesan sebagai penagih iaitu seramai 7,625 orang atau 78 peratus, diikuti India (11.69 peratus), Cina (8.74 peratus), Pribumi Sabah (0.76 peratus), lain-lain (0.43 peratus) dan Pribumi Sarawak (0.39 peratus).

Golongan belia juga didapati paling ramai menagih dadah iaitu 7,550 orang atau 77.67 peratus daripada keseluruhan bilangan penagih, dengan kelompok belia berumur antara 19 hingga 24 tahun paling ramai terlibat iaitu seramai 2,604 orang atau 26.79 peratus.

1 comment:

Alisha Residenc said...

anda boleh sila pertukaran pautan, sila? Saya akan melakukan perkara yang sama,
laman saya http://alisharesidence.blogspot.com/
berharap anda jangan keberatan