Saturday 28 May 2011

ANAK MENAGIH HILANG TEKANAN KELUARGA!!


BAGAIMANAKAH anda boleh mengenali seseorang individu yang mempunyai kesihatan mental yang baik? Sukar untuk memberikan jawapan kerana kesihatan mental tidak boleh dilihat dari luaran. Bagaimanapun terdapat tanda-tanda kepada diri seseorang yang membuatkan anda boleh menilai tahap kesihatan mentalnya.

Di antara tanda-tanda tersebut ialah keupayaannya bekerjasama dengan orang lain, boleh menjalin hubungan yang sihat dengan orang lain dan tidak mempunyai keupayaan menangani cabaran dalam kehidupan. Keluarga merupakan sebuah institusi sosial yang sangat penting kerana ia adalah unit asas dalam pembentukan sahsiah termasuk kesejahteraan mental seseorang individu.

Banyak kajian menunjukkan ramai remaja yang mengalami kekosongan jiwa dan rohani kerana tidak mendapat didikan yang baik daripada kedua-dua ibu bapa. Kebanyakannya berasal daripada keluarga yang bercelaru seperti konflik berterusan yang berlaku di dalam keluarga tersebut, keluarga yang tidak berfungsi secara berkesan, ahli-ahli keluarga terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut dan menganggapnya sebagai perkara yang normal.

Juga ahli keluarga yang bergantung kepada dadah dan ketagih arak, mempunyai ahli keluarga yang mempunyai penyakit mental yang tidak mendapat rawatan dan ibu bapa yang mewarisi masalah daripada ibu bapa mereka yang juga bermasalah.

Sesebuah keluarga berfungsi dan mempunyai beberapa tanggungjawab di antaranya memenuhi keperluan ekonomi, menaikkan status keluarga, memberikan pendidikan, memberi ajaran agama, berekreasi bersama, memberi perlindungan dan memberi kasih sayang.

Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, anak-anak yang membesar dalam keluarga yang bercelaru mengakibatkan kesan pembesaran yang tidak sihat.

‘‘Anak-anak akan mempunyai sifat-sifat negatif yang ketara termasuklah perasaan marah yang melampau, ketakutan yang tidak bertempat, kesedihan yang berpanjangan dan pemikiran untuk membunuh diri, tidak dapat menjalin hubungan yang baik dan rapat dengan individu lain, mempunyai sikap memberontak dan suka membuli atau menjadi mangsa buli.

‘‘Apabila meningkat dewasa, mereka dilihat mempunyai tahap disiplin diri dan keyakinan diri yang rendah, terlibat sebagai penjenayah, gagal menangani tekanan dengan baik dan tidak dapat merangka strategi yang berkesan bagi menangani cabaran kehidupan,’’ kata Dr. Zaleha.

Beliau berkata, di antara ciri-ciri yang dapat dilihat pada keluarga yang bercelaru ialah masalah yang dihadapi tidak cuba dikongsi bersama ahli keluarga yang lain di mana seorang ahli sahaja yang menanggung tekanan yang berat. Ahli keluarga mengambil penyelesaian negatif seperti penyalahgunaan dadah, arak, perceraian, lari daripada rumah, sakit mental, keganasan rumahtangga, konflik emosi, kemurungan dan seumpamanya. Ini seterusnya membuka ruang kepada penyakit mental, kecelaruan mental, jenayah atau perbuatan yang merosakkan diri sendiri.

Tambah beliau, di dalam keluarga tersebut tiada kepercayaan di antara satu sama lain, kurang kasih sayang dan tiada sifat saling memahami, keperluan ahli keluarga diabaikan, keganasan mental dan fizikal, tidak ada nilai atau krisis nilai dan keluarga yang tidak bercerai tetapi sentiasa berkonflik, atau dengan erti kata lain menanggung derita dalam diam. Mereka juga tidak sensitif dengan sesetengah ahli keluarga lain, bersifat pilih kasih, menafikan masalah sedia ada yang dihadapi, kegagalan menghormati maruah, hak atau fizikal orang lain dan bertindak secara ekstrim dalam menghadapi konflik serta suka bertengkar.

Menurut Dr. Zaleha lagi, gejala keluarga yang bercelaru dapat dilihat daripada sifat cemburu yang melampau. Atau perlakuan mengawal yang keterlaluan, ibu bapa yang bercerai atau tinggal berasingan dan sentiasa berkonflik tetapi tidak bercerai, tidak mengutamakan keluarga dengan tidak menyediakan masa bersama. Juga mempunyai perlakuan seksual yang songsang (berzina, sumbang mahram), anak-anak takut bercakap tentang apa yang berlaku dalam keluarga mereka dan ahli-ahli keluarga tidak mahu mengaku sebagai ahli keluarga tersebut atau tidak mahu dilihat bersama keluarga tersebut. Katanya, beberapa langkah pencegahan dan pemulihan boleh dilakukan bagi mengatasi masalah ini. Tidak ada masalah yang tidak ada penyelesaian seperti pendekatan pemulihan terapi jangka masa panjang kepada mangsa sumbang mahram, rogol dan sebagainya.

Juga intervensi, iaitu keluarga yang celaru boleh dibantu secara profesional dengan dikesan daripada tanda-tanda awal di kalangan ahli keluarga, proses menghentikan kitaran ganas oleh golongan profesional dan bukan profesional. Juga melalui pendekatan agama dengan saling memaafkan, membantu ahli keluarga yang menghadapi perceraian dengan program kaunseling (sebelum, semasa dan selepas), membantu ahli keluarga menghadapi realiti kehidupan serta program out-reach kepada keluarga yang bercelaru.


No comments:

Pemadam Wangsa Maju - Find me on Bloggers.com