Dua rakyat Malaysia ditahan kerana menyeludup dadah bernilai AU$50 juta (RM159 juta) ke Australia hari ini, rampasan dadah terbesar di negara ini dalam tempoh sedekad. Pegawai kastam di Pelabuhan Botany, Sydney berkata, mereka mendapat maklumat mengenai penghantaran barangan perabot yang disyaki dari Malaysia awal bulan ini dan menemui 42 kilogram dadah jenis heroin yang disembunyikan di dalamnya.
Rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun dan 34 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah kediaman di Sydney dan berhadapan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah. Ketua Detektif New South Wales (NSW), Supritendan Mal Lanyon berkata, kejayaan ini memberi mesej besar kepada sindiket dadah antarabangsa dan yang berpangkalan di Australia.
"Sindiket jenayah ini beroperasi tanpa sempadan dan Polis NSW komited untuk bekerjasama dengan negara lain dalam menangani masalah ini. Keselamatan masyarakat adalah keutamaan kami dan operasi hari ini telah berjaya menghalang sejumlah besar heroin memasuki negara ini," katanya.
Pengurus Polis Persekutuan Sydney, Komander Brian McDonald berkata, rampasan ini turut membuktikan bahawa rangkaian dadah antarabangsa kini menjadikan Australia sebagai tempat menyeludup dadah ekoran peningkatan mata wang negara ini.
"Kami kini bekerjasama rapat dengan negara lain bagi membincangkan mengenai beberapa pertubuhan jenayah antarabangsa yang mula menjadikan Australia sebagai sasaran mereka," ujar McDonald.
Kejayaan rampasan hari ini menyusuli penahanan empat orang dan rampasan 239 kilogram methamphetamine atau ice pada awal bulan ini. - AFP
No comments:
Post a Comment