“Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu pihak kolej telah menjemput Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai keburukan dadah."
Ishak Osman
Ishak Osman
Pengurus Kolej Integrasi Ilmu (Kini).
JEMPOL 17 Mei – Seramai 163 pelajar Kolej Integrasi Ilmu (Kini) dekat sini didedahkan dengan kesan keburukan penggunaan dadah dalam program Tomorrow‘s Leader di dewan kuliah kolej tersebut di sini baru-baru ini. Pengurus Kolej, Ishak Osman berkata, generasi muda pada hari ini seharusnya didedahkan mengenai kesan buruk yang bakal dihadapi apabila terjerumus dalam penyalahgunaan dadah. Beliau berkata, selain ceramah dan pameran, para pelajar juga mendengar kisah hidup seorang bekas penagih dadah pada program tersebut.“Melalui sesi perkongsian pengalaman itu, para pelajar dapat mendidik diri mereka agar menjadi insan yang berguna dan mereka juga telah mendaftar sebagai Rakan Anti Dadah (Rada) dan didedahkan mengenai Pusat Khidmat Cure & Care,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pelajar kolej itu, Mohd. Hizamudin Adnan, 21, berkata, program itu sangat berguna untuk generasi belia sepertinya dan mendedahkan mereka dengan pelbagai jenis dadah. “Sebelum ini saya hanya mengetahui dadah berbentuk serbuk,’’ katanya.
Rakannya, Zaraini Ah Chong, 18, dari kursus dandanan rambut berharap pihak kolej sentiasa mengadakan pelbagai program pada masa hadapan untuk faedah mereka. “Kisah bekas penagih yang terseksa untuk pulih menyedarkan saya bagi menjauhkan diri daripada dadah,” ujarnya.
Bagi Nor Liana Md. Amin, 22, remaja juga boleh membantu pihak berkuasa untuk membanteras gejala tersebut dengan menasihatkan rakan yang sudah terjerumus dalam najis dadah.
‘‘Hari ini saya baru mengetahui mengenai pusat khidmat di AADK,’’ ujarnya.
No comments:
Post a Comment