KANGAR 7 Jun - Setelah menjalani hukuman penjara hampir empat tahun, seorang lelaki warganegara Thailand hari ini dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mengedar kanabis seberat 105.8 kilogram, lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Hasan Lah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Phichet Jehna, 37, setelah tertuduh didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Ketika kejadian, tertuduh yang bekerja sendiri, memandu kereta dari Thailand menuju ke Pulau Pinang.
Phichet pada asalnya didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1983) yang membawa hukuman mati kerana mengedar kanabis seberat 105,783.2 gram di Kompleks Imigresen, Padang Besar kira-kira pukul 5.15 petang, 5 Februari 2003.
Bagaimanapun di akhir kes pendakwaan, pertuduhan itu dipinda oleh mahkamah kepada tuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 39A akta sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun atau penjara seumur hidup dan sebatan minimum 10 kali.
Bapa kepada seorang anak itu mengaku bersalah atas tuduhan pindaan tersebut dan dihukum penjara 18 tahun serta sebatan 10 kali pada Ogos 2007. Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, pihak pendakwaan telah mengemukakan rayuan dan Mahkamah Rayuan kemudian memutuskan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sekali gus memanggil tertuduh membela diri atas pertuduhan asal.
Phichet diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azman Abu Hassan. Turut hadir di mahkamah ialah ahli keluarga tertuduh termasuk ibu, isteri dan adik lelakinya yang tiba dari Pattani, Thailand.
No comments:
Post a Comment