Tuesday 1 November 2011

LELAKI DITAHAN... TELAN 24 GRAM DADAH!!?

MELAKA 24 Okt. – Seorang lelaki yang menelan pelbagai jenis dadah, hari ini dihukum penjara empat tahun dan sebatan enam kali oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menyembunyikan dadah seberat 26.52 gram di dalam perutnya, April lalu.Majistret Muhammad Hazri Hanafi menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Toh Kok Soon, 31, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dihadapinya.

Mengikut pertuduhan-pertuduhan tersebut, lelaki itu didakwa memiliki dadah jenis heroin dengan berat bersih 3.17 gram, kanabis (22.47 gram), nimetazepam (0.17 gram) dan monoacetylmorphines (0.72 gram). Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di dalam tandas Hospital Penjara Sungai Udang kira-kira pukul 4.15 petang, 14 April lalu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama iaitu dipenjara sehingga lima tahun dan sebatan maksimum sembilan kali.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya. Muhammad Hazri menjatuhkan hukuman penjara 48 bulan dan sebatan tiga kali bagi pertuduhan pertama dan kedua serta penjara 12 bulan masing-masing bagi pertuduhan ketiga dan keempat.

Kesemua hukuman tersebut diperintahkan berjalan serentak.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhather Mohd. Kudus, pada hari kejadian, tertuduh dibawa ke Penjara Sungai Udang untuk menjalani hukuman penjara dua bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Muar. Pada waktu yang sama, tertuduh menelan 22 peket plastik mengandungi pelbagai jenis dadah yang diterimanya daripada seorang kenalan di dalam lokap di Muar. Kenalannya itu kemudian diikat jamin.

Tindakan tertuduh terbongkar apabila pemeriksaan yang dijalankan oleh kakitangan penjara mendapati tertuduh menyembunyikan kesemua dadah tersebut di dalam perutnya. Ekoran itu pihak penjara memberikan julap kepada tertuduh yang kemudian mengeluarkan peket-peket dadah bersama najisnya. – Utusan







No comments:

Pemadam Wangsa Maju - Find me on Bloggers.com