Sunday, 1 April 2012

PENGALAMAN GADIS KELDAI DADAH - MERINGKUK PENJARA DI LUAR NEGARA 4 TAHUN!!

 
 
Jika tidak sanggup makan roti berulat, jangan sesekali meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada individu khasnya yang baharu dikenali jika tidak mahu diperangkap sebagai keldai dadah.

Pengalaman memeritkan itu terpaksa ditempuhi oleh Wan Lydiawati Abdul Majid ketika menjalani hukuman penjara empat tahun di Caracas, Venezuela setelah terpedaya dengan kebaikan seorang wanita, yang hanya dikenali sebagai ‘Kak Siti.’

Mengimbau kembali pengalamannya di sebalik tirai besi selama empat tahun tersebut, Wan Lydiawati menyifatkan masa di penjara sebagai pengajaran paling berharga dalam hidupnya, terutama apabila mengenang makanan yang disediakan oleh pihak penjara.

“Makanan di penjara amat dahsyat, malah saya pernah terjumpa ulat dalam roti yang diberikan kepada kami, tetapi paling menyedihkan, apabila saya terpaksa berbuka puasa dengan makanan basi kerana disimpan dari tengah hari.

“Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika itu, namun saya terpaksa tabahkan hati untuk mengharunginya hari demi hari,” katanya.

Namun, katanya, perkara itu tidak pernah menghalangnya menunaikan tanggungjawab sebagai seorang wanita Islam untuk berpuasa.

Beliau menjelaskan, tidak pernah sekali pun terlintas di benak fikirannya akan ditangkap dan dipenjarakan selama empat tahun atas kesalahan menyeludup dadah ketika ditawarkan ‘percutian menyeronokkan’ di luar negara, walaupun baharu berkenalan dengan ‘Kak Siti.’

Wan Lydiawati berkata demikian pada sesi perkongsian pengalaman bersama mangsa keldai dadah, ‘Sedarkah Anda Mungkinkah Kita Salah Seorang Mangsa?’ sambil ditemani ibunya, Sharifah Marina Syed Hamzah di sini, semalam.

Katanya lagi, beliau hanya berkenalan dengan ‘Kak Siti’ selama empat bulan sebelum ditawarkan untuk menyertai lawatan itu.

‘Kak Siti’ yang berusia 30-an mempunyai penampilan ke-ibuan dan sering menunjukkan rasa prihatin terhadapnya yang ketika itu pelajar di sebuah kolej swasta, kata Wan Lidyawati.

Menurutnya, tidak ada gunanya untuk menyesali perbuatan tersebut sekarang kerana mungkin itu adalah harga yang perlu dibayar kerana beranggapan dirinya sudah cukup dewasa, malah meminta restu daripada ibunya untuk pergi ke luar negara pada ketika itu.

Menceritakan lebih lanjut, Wan Lidyawati berkata, beberapa jam sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur secara bersendirian, beliau dihubungi oleh ‘Kak Siti’ yang mahu beliau memastikan bagasi itu tiba di ibu negara dengan selamat.

Ketika beliau mempersoalkannya, ‘Kak Siti’ dengan bersahaja memberitahunya agar tidak panik kerana bagasinya mengandungi dadah, tetapi beliau menyangka ‘Kak Siti’ sekadar berseloroh.

Tetapi apabila begnya diperiksa, beliau terkedu apabila dimaklumkan oleh pegawai penguat kuasa bahawa begnya mengandungi dadah jenis kokain seberat 2.2 kilogram.

Apa yang dapat difikirkan ketika itu, katanya, adalah ibu-nya dan beliau terpaksa me-ngumpul kekuatan untuk menghubungi ibunya bagi memaklumkan situasi tersebut.

Wan Lydiawati memberitahu, beliau bernasib baik kerana dihukum penjara empat tahun selepas didapati bersalah membawa kuantiti dadah yang ba-nyak.

Jika ditahan di China atau  Singapura, sudah tentu hukumannya adalah mati mandatori, katanya.
Katanya, beliau pernah mempersoalkan kenapa beliau ditakdirkan untuk mengharungi pengalaman begitu pahit de-ngan dipenjara di Caracas se-lama empat tahun kerana menyeludup dadah.

“Tetapi mungkin semua ini ada hikmahnya, mungkin Tuhan mahu saya berkongsi semua ini dengan anda semua di luar sana untuk tidak mempercayai bukan sahaja lelaki asing, tetapi sesiapa sahaja yang anda baharu kenali.

“Jadi, saya harap anda semua dapat menjadikannya sebagai iktibar… jangan menambah angka mangsa keldai dadah di negara kita,” katanya.

No comments:

Pemadam Wangsa Maju - Find me on Bloggers.com