Friday 29 June 2012

KAEDAH BARU - UBAISUAI KANDUNGAN DADAH ELAK HUKUMAN GANTUNG.





Jabatan Kimia menemui bahan baru yang digunakan sindiket dadah dalam penghasilan pil Eramin 5 bagi mengaburi mata pembeli dan pihak berkuasa untuk mengelakkan mereka daripada dijatuhi hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kimia Malaysia, Chang Hon Fong (he) berkata penemuan terbaru itu dikesan dalam kajian pil Eramin 5 yang dirampas polis di sebuah makmal pembuatan dadah haram itu di Klang, Selangor pada Mei lepas.

“Pada kebiasaannya Eramin 5, iaitu dadah sintetik, mengandungi Nimetazepam. Ia sejenis dadah berbahaya yang diubah suai untuk dijadikan sebagai penghilang rasa tekanan oleh pengamalnya.

“Namun begitu, bagi kes terbaru di Klang, hasil pemeriksaan kita mendapati penghasilan Eramin 5 oleh makmal haram tersebut menggunakan Phenazepam, sejenis bahan yang diklasifikasikan di bawah Akta Racun 1952, yang hanya dikenakan hukuman denda saja,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Hari Terbuka Kimia 2012 di sini, semalam.

Pada 16 Mei lepas, polis menyerbu stor simpanan utama sindiket dadah di sebuah rumah di Kapar, Klang dan menahan seorang lelaki serta merampas 736,330 biji pil Eramin 5, bernilai RM14.9 juta.

Beliau berkata implikasi bagi Eramin 5 menggunakan Nimetazepam mampu merosakkan hati dan buah pinggang kerana ia adalah bahan dadah yang digunakan untuk mengurangkan tekanan dalam jiwa manusia.

“Bagi Eramin 5 menggunakan Phenazepam itu, kami masih lagi mengkaji kesannya kepada badan manusia tetapi ianya tetap racun yang berpotensi untuk membunuh.

“Namun yang pasti, kedua-duanya akan memberi kesan yang sangat buruk kepada manusia,” katanya.

Beliau berkata makmal dadah sindiket itu mengedarkan Eramin 5 jenis Phenazepam menggunakan pek dan bentuk yang sama bagi menipu pelanggan mereka di samping mengaut keuntungan yang besar.

“Ini kerana kos Phenazepam adalah lebih murah berbanding Nimetazepam dan ini menjadikan makmal dadah tersebut mudah mengaut keuntungan dengan kos perbelanjaan yang rendah,” katanya.


No comments:

Pemadam Wangsa Maju - Find me on Bloggers.com