Kes rakyat Malaysia diberkas di luar negara kerana kesalahan menyeludup dadah nampaknya terus berlaku.
Terbaru, seorang lagi ‘keldai dadah’ berasal dari negara ini dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Medan, Indonesia kerana didapati menyeludup dadah jenis syabu dengan cara memasukkannya ke dalam beberapa bungkusan kondom sebelum ditelan.
Menurut sumber, suspek yang diberkas pada awal minggu ini merupakan seorang lelaki dikenali sebagai Shah, 22, yang diupah oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Beliau berkata, pemuda yang dipercayai dibayar upah lumayan diminta menelan beberapa bungkusan kondom berisi syabu untuk dibawa masuk ke republik berkenaan dengan menyamar sebagai pelancong.
“Tindakannya yang sanggup bergadai nyawa untuk menyeludup dadah tersebut tidak berbaloi apabila dia ditangkap oleh polis Sumatera Utara semasa tiba di Lapangan Terbang Medan.
“Apabila disiasat, suspek yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang mengaku diupah sindiket dadah antarabangsa untuk menyeludup dadah ke republik itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber berkata, suspek yang tiba dengan penerbangan pada pukul 9 malam, ditahan selepas dilihat berkeadaan mencurigakan semasa diperiksa.
Beliau berkata, lelaki tersebut kemudian dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan ujian imbasan mendapati dia menelan beberapa bungkusan kondom berisi syabu seberat 128 gram.
Katanya, suspek yang disiasat lanjut mengaku sudah beberapa kali diupah untuk menyeludup syabu menggunakan taktik seumpama itu tetapi gagal dalam cubaan kali ini.
Menurut sumber lagi, suspek bukanlah ‘keldai dadah’ pertama dari Malaysia ditangkap di negara jiran itu pada tahun ini kerana seorang lagi lelaki tempatan berusia 50 tahun turut dilaporkan diberkas oleh pihak berkuasa republik itu pada Mei lalu.
“Dalam kes tersebut, suspek diberkas bersama tiga rakyat Indonesia semasa cuba menyeludup syabu seberat 531 kilogram dianggarkan bernilai RM258.4 juta.
“Dadah tersebut dikesan dibawa dari China ke Malaysia sebelum diseludup pula ke negara jiran itu dengan taktik memasukkannya ke dalam kotak makanan ikan," katanya.
Baru-baru ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim mendedahkan, statistik terbaru menunjukkan terdapat kira-kira 30 rakyat Malaysia kini meringkuk di dalam penjara di Indonesia atas jenayah penyeludupan dadah.
No comments:
Post a Comment