Wednesday 27 June 2012

MB N.SEMBILAN GESA KAJI SEMULA UNDANG-UNDANG PENUBUHAN PEMADAM.



Seramai lebih kurang 1800 orang ahli Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) seluruh negeri hadir di majlis makan malam sempena Perhimpunan Agung Tahunan PEMADAM Ke-37.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan hadir bagi merasmikan majlis tersebut yang diadakan di Klana Resort, Seremban baru-baru ini.




Beliau selaku Penaung PEMADAM Negeri Sembilan mengingatkan para ahli agar jangan sesekali menjadikan alasan kekangan dari segi kewangan ini untuk tidak meneruskan usaha dalam mencegah gejala yang semakin mempengaruhi anak bangsa.

Beliau berharap agar gejala penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa di negara ini dapat ditangani dan dicegah dan menjadikan negara ini sifar dadah.




Difahamkan, seramai 350,000 orang penduduk di Malaysia telah terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan seramai 1.2 juta dari seluruh negara penagih dadah telah dikenalpasti.

Oleh yang demikian, beliau menegaskan agar PEMADAM membuat tinjauan, melihat, mengkaji dan mengupas setiap masalah yang melibatkan dadah dalam kerangka kertas kerja agar masalah ini dapat ditangani dengan baik.

Di Negeri Sembilan, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan negeri bagi memerangi gejala ini dan dengan penubuhan Klinik Metadone sedikit sebanyak dapat memberi peluang kepada penagih dadah agar kembali ke pangkal jalan dan meneruskan kehidupan seperti masyarakat lain.





Menteri Besar turut menyampaikan peruntukan daripada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) sebanyak RM10,000 kepada setiap PEMADAM negeri beserta plak dan sijil penghargaan.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Razak Bin Mansor, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan, Dato’ Wira Mohd Johari Bin Baharum dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras PEMADAM Negeri Sembilan, Dato’ Abd. Samad Bin Ibrahim.

PEMADAM Wangsa Maju turut menghantar wakil untuk mengambil bahagian pada Perhimpunan pada tahun ini.


No comments:

Pemadam Wangsa Maju - Find me on Bloggers.com