Wednesday, 25 May 2011

DADAH - LATARBELAKANG PELANCONG MESTI DISIASAT!!

STATISTIK mengenai lebih 1,000 warga Malaysia merengkok di penjara di luar negara kerana pelbagai kesalahan terutama dadah sering mencuri tumpuan media dan umum. Ada juga selebriti terbabit dan dipercayai teraniaya oleh kerja kotor pihak tertentu.

Namun perkara ini boleh dihindari jika kebebasan pelancong luar yang dikatakan menjadikan negara kita sebagai tempat bersantai ditapis sedikit walaupun tidak terlalu ketat. Kehadiran jutaan pelancong asing ke negara kita hingga dicemburui badan pelancongan Pulau Bali diharap tidak membuatkan kita terasa dibuai puji-pujian hingga ada kalangan pelancong yang datang ke negara ini dengan niat serong.

Kisah cinta dan epilog dua bangsa sering menjadi puisi dan lagu. Namun kerana cinta jiwa dan raga bakal jadi taruhan. Setakat berkorban jiwa kerana membawa satu bagasi mungkin dianggap perkara enteng namun isi bagasi yang tersembunyi yang akan menjadikan ia bertukar menjadi gawat dan musibah kepada individu yang terjebak.

Kes terbaru pelancong dari negara timur yang dipercayai menjadikan negara kita transit pengedaran dadah menunjukkan bahawa aktiviti yang mereka lakukan sudah lama. Kita boleh bayangkan jika negara kita dikenali sebagai pusat transit pengedaran dadah, apa akan jadi kepada imej bersih negara kita yang sedang bermati-matian memerangi dadah dan tegas dari segi hukuman mandatori hukum gantung sampai mati.

Betapa berani pihak ini mempermainkan kedaulatan undang-undang kita. Pihak imigresen perlu lebih telus memberi visa kedatangan dan memeriksa latar belakang pelancong yang mencurigakan untuk kebaikan rakyat kita. Kedatangan pelancong dan warga asing atas nama pelajar kolej dan IPTS perlu juga disiasat. Buat masa ini kes-kes yang membabitkan mereka masih terkawal namun kita tidak boleh terus-terusan membebankan pihak polis untuk membendung jenayah yang dilakukan warga asing ini.

Jika tapisan dan penguatkuasaan dilakukan dengan cekap pasti kita mampu mengawal kemasukan unsur luar yang tidak secocok dengan budaya kita ini.

Anak-anak gadis kita digoda dan lelaki asing daripada sindiket dadah ini kemudiannya memujuk mereka dengan tawaran ke luar negara sambil membawa bagasi dadah.

Mungkin sudah sampai masanya yang datang dari luar perlu juga diperiksa latar belakang mereka kerana satu dua kes membabitkan rakyat kita kerana dadah boleh diampunkan namun jika sudah 1,000 kes ia bukan perkara terpencil ia sudah menjadi wabak yang perlu dibanteras.

Kepada anak-anak gadis janganlah terlalu berbangga mempunyai teman lelaki asing, periksa latar belakang mereka dan jangan pula kerana cinta jiwa raga binasa. Bangsa pun hilang.
Justify Full

No comments:

Pemadam Wangsa Maju - Find me on Bloggers.com