Tuesday, 24 May 2011

KENAPA MEREKA DIHUKUM!!? - SAYANGI BEKAS PENAGIH DADAH.

BEAUFORT 9 Mei - Masyarakat perlu mengubah persepsi negatif mereka terhadap bekas penagih dadah yang sedang menerima rawatan pemulihan sebagai seorang pesakit. Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, prasangka buruk terhadap bekas penagih merupakan tabiat lama masyarakat yang perlu dikikis.

''Ia bagi memastikan bekas penagih ini tidak berasa tersisih, sebaliknya dapat diterima kembali dan diberikan peluang untuk berubah dan memulakan kehidupan baru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Peringatan Hari Anti Dadah Kebangsaan peringkat negeri Sabah di Tapak Tamu Pekan Beaufort, di sini semalam. Hadir sama, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah (AADK), Bakri Bibi; Pegawai Daerah Beaufort, Wong Foo Tin; Penolong Pegawai Daerah Beaufort (Bahagian Pembangunan) Mohd. Shaid Othman dan ketua-ketua jabatan Persekutuan dan negeri.

Azizah berkata, genap 28 tahun pengisytiharan dasar dadah negara oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed telah menjadi titik tolak kerajaan dalam usaha membasmi musuh nombor satu negara.

Tema sambutan kali ini ialah Fikirkan Kesihatan Bukan Dadah dan ia telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Jenayah dan Dadah (UNODC).

Menurutnya, hubungan kerjasama antarabangsa perlu diperluas dan dipertingkatkan bagi menangani cabaran masalah penyalahgunaan dadah secara kolektif dan efektif. Beliau berkata, perjuangan memerangi dadah memerlukan penglibatan secara total dan semua pihak perlu berkongsi tanggungjawab membasmi dadah.

''Saya berharap pemimpin-pemimpin masyarakat yang lain, termasuk ketua-ketua kampung dan guru turut sama dalam usaha ini. Keluarga sihat dan bahagia akan menghindari tingkah laku tidak bermoral di kalangan anak-anak," ujarnya.


No comments: