Tuesday 24 May 2011

'PELACUR' DADAH - GADIS IPT ANTARA MANGSA KELDAI DADAH.


SHAH ALAM 10 Mei - Meskipun sudah diberi peringatan berkali-kali, masih ada gadis di negara ini yang terus termakan pujuk rayu teman lelaki warga asing sehingga dijadikan keldai dadah.

Mangsa terbaru ialah dua pelajar wanita sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Walaupun baru kenal sebulan tapi pelajar ini mudah terpengaruh dengan ganjaran tawaran percutian menarik ke China oleh dua lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan. Kedua-dua pelajar berusia 21 tahun itu hanya sedar mereka diperalatkan apabila dipaksa menelan enam biji kapsul dadah heroin gred tinggi sebelum menaiki penerbangan ke China yang sepatutnya berlepas pada 7 Mei lalu.

Apabila enggan mengikut arahan, mereka dikurung di sebuah apartmen di Puchong, Petaling Jaya dekat sini. Bagaimanapun, kecekapan polis berjaya menyelamatkan mereka daripada dipaksa menjadi keldai dadah oleh kedua-dua 'Awang hitam' yang juga pelajar IPTS di negara ini pada Khamis lalu iaitu sehari sebelum penerbangan mereka berlepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 2 pagi itu, dua warga Nigeria terbabit serta wanita tempatan berkenaan turut diberkas. Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui enam biji kapsul dan dua peket plastik heroin gred tinggi seberat 0.372 kilogram bernilai RM28,000 dan ketulan mampat ganja seberat 0.07 kilogram (RM700).

"Siasatan mendapati kedua-dua mangsa mengenali dua warga Nigeria terbabit di sebuah restoran di apartmen tempat kejadian sebulan lalu dan mereka belajar di kolej berlainan. Kita kini sedang menyiasat sama ada kedua-dua suspek pernah memperdaya pelajar lain sebelum ini," kata beliau kepada pemberita di Pusat Media Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Menurut Nordin, kesemua suspek yang berusia 25 hingga 28 tahun kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan. Katanya, kedua-dua mangsa pula telah dihantar ke rumah masing-masing selepas diambil kenyataan.

"Polis nasihatkan wanita muda terutama pelajar agar tidak mudah terpedaya dengan hadiah, tawaran atau janji manis oleh warga asing kerana mereka mungkin berniat jahat untuk mempergunakan mereka menjadi keldai dadah," kata beliau.



No comments:

Pemadam Wangsa Maju - Find me on Bloggers.com