Friday 10 June 2011

ANAK DAN EMAK SENDIRI MENGEDAR DADAH!!

Gambar Contoh


KOTA KINABALU 3 Jun - Sepatutnya seorang ibu bertanggungjawab memberikan contoh dan didikan yang baik kepada anak-anaknya. Namun lain pula yang berlaku di Kampung Kandang Ayam di Inanam dekat sini apabila seorang ibu ditahan bersama dua anaknya kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dan penagihan dadah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, wanita berusia 33 tahun itu ditahan bersama dua anak lelakinya, masing-masing berumur 14 dan 15 tahun pada 27 Mei lalu.

"Bertindak atas maklumat awam kita telah menyerbu rumah suspek pada pukul 3.35 pagi dan ketika itu suspek sedang membungkus dadah disyaki jenis syabu. Walaupun bapa kepada dua remaja lelaki ini tiada di rumah ketika serbuan, kita percaya dia juga terlibat dalam kegiatan ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hari ini.

Beliau memberitahu, dalam serbuan itu pihak polis turut merampas bungkusan berisi 10 peket syabu seberat 5.1 gram bernilai kira-kira RM1,530. Kata beliau, pihaknya turut merampas alat penimbang digital, pemetik api, gunting, penyepit dan lima gulung kertas aluminium. Tambahnya, suspek dipercayai warga asing kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Dalam pada itu Ahmad Sofi berkata, polis akan menggiatkan operasi pencegahan jenayah di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong di ibu negeri. Antara kawasan tersebut ialah, pasar kraftangan Kota Kinabalu, Asia City, Api-Api Centre, Kompleks Karamunsing, pusat beli-belah Centre Point, Wawasan Plaza, pasar ikan dan sayur, KK Plaza dan Jesselton Point.



No comments:

Pemadam Wangsa Maju - Find me on Bloggers.com