Thursday 9 June 2011

DADAH NILAI RM 1.1 JUTA DIRAMPAS!!

KUALA LUMPUR 2 Jun - Polis menumpaskan tiga sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah setelah merampas sejumlah 11.49 kilogram syabu, Eramin 5 dan heroin bernilai RM 1.1 juta dalam serbuan berasingan yang diadakan di ibu negara awal minggu ini. Kesemua serbuan dilakukan dalam tempoh tiga hari susulan intipan polis dan hasil maklumat daripada orang awam. Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, serbuan pertama dilakukan di Taman Bukit Anggerik, Cheras pada Isnin lalu melibatkan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

"Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki dan wanita tempatan yang menjadikan sebuah bilik di rumah itu sebagai tempat pemprosesan dadah. Hasil serbuan itu, kita merampas 4.75 kilogram dadah jenis heroin dan bahan-bahan yang disyaki untuk membuat dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan kedua tengah malam semalam, polis menahan sebuah kereta jenis Honda Civic dipandu seorang lelaki warga Uzbekistan berusia 29 tahun di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ismail kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

"Dalam serbuan itu, polis menemui satu bungkusan plastik mengandungi ketulan jernih yang disyaki syabu seberat 711 gram. Selepas menyoal siasat lelaki itu, polis menahan dua wanita rakan senegaranya dan seorang lelaki Filipina berusia antara 29 hingga 37 tahun di sebuah apartmen servis di Jalan Ampang. Kita juga merampas dadah jenis syabu seberat 5.8 kilogram. Hasil saringan mendapati kesemua suspek positif mengambil dadah," katanya lagi.

Amar Singh memberitahu, pada hari yang sama kira-kira pukul 2 petang, polis menumpaskan satu lagi sindiket dadah yang didalangi empat lelaki dan seorang wanita tempatan.

"Dalam serbuan itu, kita merampas sejumlah 158.2 gram dadah jenis Eramin 5 di sebuah rumah di Kampung Pandan, Cheras," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati, kesemua suspek dalam ketiga-tiga serbuan itu positif mengambil dadah kecuali salah seorang suspek wanita tempatan.

"Mereka direman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan," ujarnya.



No comments:

Pemadam Wangsa Maju - Find me on Bloggers.com