Friday 24 June 2011

KRITIKAL - POLIS PUN DITAHAN HISAP DADAH!!

Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah pepatah sesuai bagi seorang pegawai dan lima anggota polis yang diamanahkan tugas untuk membanteras kegiatan pengedaran dadah.

Keenam-enam mereka yang bertugas dalam cawangan narkotik di sini, sepatutnya memburu pengedar dadah tetapi sebaliknya mengambil kesempatan untuk terlibat sama dalam kegiatan mengedar dadah kepada para penagih di sekitar ibu negara.

Namun, penglibatan mereka dalam aktiviti menyalahi undang-undang itu akhirnya terbongkar dan mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, mereka yang ditahan ialah seorang pegawai berpangkat Inspektor dan lima anggota pangkat rendah terdiri daripada Koperal serta Konstabel.

"Keenam-enam mereka berusia 30-an ditahan secara berasingan kerana disyaki mengedar dadah secara kecil-kecilan. Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Langkah-Langkah Pencegahan)," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar semasa mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar merasmikan Majlis Ihtifal Peringkat Kebangsaan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima) Kali Ke-12 di Masjid Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Noor Rashid, semasa tangkapan dilakukan, tiada dadah dirampas daripada keenam-enam suspek tetapi pihaknya mempunyai alasan kukuh untuk memberkas mereka.

Beliau berkata, keputusan sama ada mereka akan digantung kerja dijangka diketahui selepas selesai siasatan nanti.

Tegasnya, tangkapan pegawai dan anggota terbabit membuktikan bahawa polis tidak melindungi sesiapa daripada undang-undang.

Beliau turut menasihatkan semua ketua polis peringkat negeri negeri dan daerah agar memantau pegawai dan anggota di bawah jagaan mereka bagi memastikan kejadian tidak berulang.

"Tangkapan pegawai dan anggota ini adalah mesej jelas bagi menunjukkan betapa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersikap telus kepada masyarakat.

"Kita juga minta masyarakat tidak memandang serong PDRM kerana penglibatan pegawai dan anggota polis dalam penyalahgunaan kuasa serta kegiatan jenayah adalah kecil berbanding lebih 100,000 keanggotaan dalam pasukan keselamatan itu," katanya sambil memberitahu tangkapan keenam-enam suspek adalah kes pertama membabitkan anggotanya pada tahun ini.




1 comment:

Anonymous said...

SAYA RASA PEMADAM HARUS MEMBUAT PEMERIKSAAN AIR KENCING TERHADAP SEMUA ANGGOTA POLIS DI SEMUA NEGERI DAN BALAI-BALAI.. KERANA SAYA ADA TERDENGAR ADA ANGGOTA POLIS BAWAHAN MENGHISAP DADAH DAN MENGEDAR DADAH.. HARAP MAKLUM.. HARAP KAN TIN, TIN MAKAN BISKUT

Pemadam Wangsa Maju - Find me on Bloggers.com