Sunday, 12 June 2011

SYABU DI DALAM MEE SEGERA!!?


SHAH ALAM 7 Jun - Selepas helah menyeludup syabu dalam ubi kayu tidak menjadi, sindiket yang menggunakan warga Nigeria sebagai 'keldai dadah' menukar taktik dengan menyembunyikan 9.6 kilogram syabu bernilai RM2.42 juta dalam bungkusan mi segera, makaroni dan sabun pula.

Muslihat itu bagaimanapun terbongkar selepas tiga suspek ditahan dalam tiga pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada Jumaat, Ahad dan semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, siasatan awal pihaknya percaya kesemua suspek yang masing-masing berusia 25, 27 dan 37 tahun itu pertama kali datang ke negara ini sebagai pelancong menaiki penerbangan dari Doha, Qatar.

Beliau berkata, suspek pertama yang tiba pukul 3.45 petang Jumaat lalu, ditahan selepas pihaknya menemui 3.7 kilogram syabu yang disembunyikan dalam 18 bungkusan mi segera.

Menurutnya, suspek kedua yang tiba pukul 9.35 malam Ahad lalu pula diberkas selepas didapati membawa 3.9 kilogram syabu dalam 19 bungkusan makaroni manakala suspek terakhir yang tiba pukul 3.45 petang semalam ditahan bersama 2.095 kilogram syabu yang disembunyikan dalam 14 kotak sabun.

"Dadah syabu yang dirampas itu cukup untuk bekalan 32,000 orang jika ia diedarkan di negara ini," katanya kepada pemberita di pusat media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir.

Menurut Tun Hisan, pihaknya mendapati, sindiket itu meniru taktik sindiket dadah warga Iran yang pernah ditahan sebelum ini.

Tambah beliau, kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.



1 comment:

Anonymous said...

bila lar kerajaan ni nak haramkan semua warga Nigeria dari datang atau duduk kat Malaysia? lebih banyak keburukan dari kebaikan dengan adanya warga Nigeria ni... prevention better than cure...

Pemadam Wangsa Maju - Find me on Bloggers.com